Lima tahun lalu, pelakon Emma Akma pernah muncul menghiasi muka depan MIDI. Kala itu dia baru melalui detik sukar apabila berdepan dengan masalah rumah tangga dan cinta. Namun, penampilannya ke pejabat MIDI kali ini cukup berbeza. Wajahnya cantik bersinar, bagai melambangkan kebahagiaan dan keceriaan yang sedang  dinikmati. Ibarat segala keperitan yang pernah dilalui sebelum ini tidak pernah singgah bertamu.

 

Anak jati negeri Perak ini tidak berselindung bahawa hatinya kini berbunga bahagia. Permata hati yang selama ini dirindukan, kini sepenuhnya menjadi milik Emma. Sebelum sempat kenyataannya disalahtafsirkan, dia pantas memberitahu permata hati yang dimaksudkna adalah puteri tunggalnya, Dayang Izzati Kamal, 8 tahun.

 

Menurut Emma, selepas berpisah, anak kesayangannya yang ketika itu berusia  empat tahun  dibela oleh bekas suami yang mendapat hak penjagaan. Namun sebagai ibu, pelakon yang sering kita lihat wajahnya melalui slot drama bersiri ini selalu berdoa dan berharap agai suatu hari nanti, anak yang dikendongdan dibelai suatu ketika dahulu akan kembali ke pangkuannya.

 

Berkat sabar, penghujung tahun lalu anak yang dirindui setiap masa itu kembali ke pangkuannya.

 

"Alhamdulillah. Hanya itu yang termampu saya ucapkan apabila Izzati dibenarkan tinggal bersama saya. Sesuatu yang memang  saya impikan selama ini," katanya terharu.

 

Kehadiran Izzati bagai mengubati segala kepedihan dan kedukaan yang ditanggung selama ini. "Saya kini bagaikan mendapat semangat baru. Dengan Izzati, saya akan mampu menempuh apa jua rintangan yang mendatang. Insya Allah."

 

Emma tidak menafikan bahawa 'kepulangan' si anak sebanyak sedikit telah merubah jadual hariannya.

 

"Ya lah, sekarang apa pun yang dibuat, saya kena fikirkan Izzati. Namun syukur kerana anak sulung saya yang sudah berusia 21 tahun dan tinggal bersama-sama saya, membantu menguruskan adiknya apabila saya sibuk di lokasi. Bekas suami juga tidak lepas tangan. Sebaliknya sama-sama tolong jengukkan  si kecil bila saya sibuk shooting," beritahu pelakon cantik ini dengan nada ceria.

 

Kongsi pelakon yang sering memegang watak ibu yang anggun ini, musim persekolahan tahun ini cukup bermakna buat dirinya. "Buat pertama kali, saya menyiapkan Izzati ke sekolah. Dulu, waktu dia bersama ayahnya, saya hanya dapat menjenguk setelah dia siap hendak ke sekolah. Tapi kini saya siapkan segala-galanya. Walau sibuk tapi cukup seronok dan puas."

 

MENARIK BULAN INI

Antara kandungan menarik adalah isu Asmara Terlarang: Ke mana penghujungnya?, Dilema ibu bakal menantu anak luar nikah, 5 Tip maafkan pasangan, Mahu naik gaji? Promosikan diri anda!, Bagaimana sukan pupuk nilai murni pada anak?, Mesti baca! Awas, beri perhatian pada kesihatan tulang dan sendi serta banyak info lain. Ikuti juga resipi blogger iaitu bongkar rahsia Pavlova dan Tat Keju. Semuanya boleh diperolehi menerusi majalah MIDI keluaran 15 Februari 2014!