Wajah manis Norliza Md Zain bukan lagi asing bagi peminat dunia penyiaran di Malaysia. Apa tah lagi sudah 17 tahun dia begitu setia menyampaikan berita dan maklumat terkini tentang apa yang berlaku di tanah air. Namun berbanding dengan beberapa orang rakan setugasnya, tidak banyak yang diketahui tentang dirinya lantaran sikap ‘low profile’nya. Justeru itu MIDI mendekati penyampai berita merangkap Penerbit Unit Berita dan Ehwal Semasa TV3 yang masih cantik dan bertenaga ini.

 

Pasti ramai yang terkejut apabila diberitahu bahawa wanita tinggi lampai ini menyertai bidang penyiaran lantaran mahu membina keyakinan diri dan membuang rasa malu yang bersarang dalam diri.

 

Pemalu “Sewaktu bersekolah dahulu saya suka menulis perkara-perkara yang menarik perhatian saya melalui cerpen, sajak dan artikel yang saya hantar ke majalah. Dalam masa yang sama, saya merupakan seorang yang sangat pemalu dan kurang keyakinan diri.

 

“Jadi untuk mengatasinya, saya mencabar diri sendiri. Saya yakin sikap malu tidak bertempat dan kurang keyakinan diri ini boleh saya atasi dengan menceburi bidang yang memerlukan saya bertemu orang ramai. Dalam masa sama saya, boleh menyampaikan pandangan saya kepada khalayak. Cabaran itulah yang akhirnya mendorong saya untuk berada dalam bidang penyiaran hingga

kini,” katanya sewaktu didandan rapi.

 

Ternyata pilihan yang dibuat bertepatan. Sepanjang 17 bergelumang dengan pelbagai rencah kehidupan manusia, dia bukan sahaja berjaya membina keyakinan diri sebagaimana yang diharapkan, tetapi juga mempelajari tentang erti kemanusiaan.

 

“Saya tidak dapat melupakan kenangan ketika membuat liputan

tentang kehidupan masyarakat miskin di Ahmedabad, India. Apa

yang membuat saya begitu terkesan sehingga ke hari ini ialah sikap baik penduduk kampung tersebut. Dalam keadaan serba kekurangan serta rumah yang hanya diperbuat daripada tahi lembu yang dikeringkan, mereka menyambut kami dengan cukup

berbesar hati.

 

“Bukan sahaja diterima dengan senyum lebar, tetapi kami juga

dihidangkan teh pekat yang dipanggil “cha”. Mulanya kami rasa was-was juga nak minum memandangkan keadaan sekeliling rumah yang kurang bersih. Tetapi kerana layanan mereka sangat baik, kami tak sampai hati. Jadi kami pun minum. Siap bertambah-tambah lagi sebab tehnya sedap,” imbau Norliza sambil tertawa kecil.

 

MENARIK BULAN INI

Antara kandungan menarik, ikuti 11 Signal Pasangan Anda Mungkin Curang!, Kolesterol Tinggi Apa Bahayanya?, Nikmati Seks: Hidup Lebih Ceria Dan Awet Muda, Anak Menginjak Remaja, Apa Persiapan Anda?, Awas: Skandal Di Pejabat Boleh Bunuh Kerjaya!, Gila Gajet Rumah Tangga Terabai, Resipi Chutney Tuna dan banyak lagi. Semuanya boleh diperolehi menerusi majalah MIDI keluaran 1 Disember 2013.