Keputusan menggandingkan penyanyi popular era 80-an, Datin Suliza Salam dan personaliti terkenal TV3, Azizah Ariffin sememangnya satu keputusan yang tepat. Mana tidaknya, kedua-dua personaliti ini begitu serasi digandingkan tatkala sesi fotografi dijalankan di Hotel One World Petaling Jaya. Ditambah pula wajah kedua-duanya yang seakan seiras, keakraban mereka terserlah dalam memberikan pelbagai pose menarik khusus untuk tatapan pembaca MIDI.

 

KEPULANGAN ANAK SULUNG TAMBAH KEMERIAHAN - DATIN SULIZA

Setiap kali kedatangan Aidilfitri, ia merupakan medan buat keluarganya berkumpul dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang terjalin.

"Saya mengamalkan kesederhanaan dalam menyediakan kelengkapan Aidilfitri. Apa yang lebih diutamakan ialah persiapan untuk ketiga-tiga anak. Setiap kali berkumpul untuk berbuka puasa, kami lebih selesa berbuka  puasa di rumah kerana suasana lebih santai dan dapat menunaikan solat maghrib dan solat tarawih secara berjemaah. Bulan Ramadan digunakan sebaik mungkin untuk berkumpul dan melipatgandakan amalan. Kebetulan pula tahun ini, anak sulung, Nur Izzati yang menuntut di London dapat pulang ke tanah air meraikan Syawal bersama-sama kami. Jadi, sudah tentu suasana lebih meriah dengan kehadiran ketiga-tiga cahaya mata saya di sisi," ujar Datin Suliza, ibu kepada Nur Izzati, Nur Falahi dan Ismail Izzani.

 

AZIZAH TERUJA AIDILFITRI BERSAMA SI KECIL

Bagi personaliti TV3, Azizah Ariffin pula, Syawal tahun ini merupakan Saywal penuh bermakna kerana bilangan ahli keluarga yang semakin bertambah dan sudah pasti ia mendatangkan keceriaan berganda buat Azizah dan suami tersayang, Mohd Khafairil Mohd Khalil. Sejak kelahiran Muhammad Jibrael pada tanggal 27 Ogos 2012, kehidupan Azizah dan suami semakin berseri dengan kehadiran cahaya mata melengkapi kehidupan rumah tangga mereka.

"Alhamdulillah selepas lima tahun menanti dengan penuh kesabaran, kami menerima kehadiran seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Muhammad Jibrael. Allah saja yang t ahu betapa saya dan suami gembira serta bersyukur dengan nikmat ini," ujarnya yang sanggup mencuba pelbagai kaedah termasuklah In Vitro Fertilisation atau IVF untuk mendapatkan zuriat.

 

MENARIK BULAN INI

Masih di dalam mood Syawal, isu kali ini memaparkan pelbagai kisah menarik. Antaranya topik Rumah Terbuka & Puasa Enam, Mana Lebih Afdal? Selain itu. ikuti juga kisah Menantu Mertua Sebaya: Perlu saling hormat, 13 Tip Semarakkan Perkahwinan 'Orang Lama', Buru Jodoh Jangan Sampai Dianggap Terdesak, Seks & Anda: Haram Ikut 'Jalan Belakang', Pemakaian Jubah Memudahkan Solat, AMD: Penyebab Buta Dalam Kalangan Orang Dewasa dan banyak lagi. Jangan lupa, terdapat juga 9 Resipi Langkah Demi Langkah sempena hidangan Syawal ini. Semuanya terdapat di dalam Majalah MIDI keluaran 15 Ogos 2013 ini.