Mungkin namanya tidak segah pelakon lain namun siapa dapat menyangkal kehadiran pelakon berbakat Liza Zain dalam mewarnai dunia seni lakonan tanah air. Pelawaan untuk menjadi muka depan majalah MIDI disambutnya baik. Bertempat di perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13 Shah Alam, pertemuan kami berlangsung dalam suasana yang cukup santai dan ceria. Di saat wajahnya dirias oleh jurusolek selebriti yang semakin meningkat naik iaitu Ajam, kami memulakan perbualan untuk mengetahui dengan lebih lanjut siapa sebenarnya  insan seni yang mempunyai nama penuh Noraliza binti Mohd Zain ini.

 

“ Apa yang ingin saya ceritakan ya? Rasanya saya tiada cerita menarik untuk dikongsikan bersama,” tuturnya lembut dalam nada merendah diri. Menginjak usia 45 tahun, Liza kelihatan anggun dengan penampilannya yang sekarang dan siapa menyangka diam tidak diam sudah hampir 20 tahun dia berkecimpung dalam dunia seni.

 

PERTAMA KALI

Senyuman manis terukir di bibir Liza saat diminta berkongsi sejarah awal penglibatannya dalam bidang lakonan. “ Semuanya terjadi secara tidak sengaja. Sekitar tahun 1989, saya bekerja di pejabat milik Fauziah Ahmad Daud sebagai kerani di syarikat perfilemannya. Waktu itu, syarikat milik Ogy Ahmad Daud sedang membuat penggambaran drama yang bertajuk Keris Luk Tujuh arahan pengarah tersohor Uwei Haji Shaari. Entah bagaimana, Uwei telah menawarkan saya watak sebagai heroin untuk drama tersebut bergandingan dengan Eman Manan. Segalanya terjadi dalam sekelip mata. Saya lantas menerima tawaran tersebut dan diarahkan oleh Uwei untuk belajar menari selama dua bulan.

 

Terus terang saya katakan, saya umpama rusa masuk kampung sewaktu kali pertama datang ke set penggambaran. Apabila mula disuruh beraksi, malunya hanya tuhan sahaja yang tahu,” cerita Liza sambil ketawa kecil. Manakan tidak, menurutnya lagi, dia langsung tiada pengalaman yang boleh untuknya bergantung harap dan hanya berpandukan apa yang diajar oleh Uwei pada waktu itu. Akhirnya, drama Keris Luk Tujuh berjaya menjadi drama rantaian pertama yang ditayangkan di sebuah stesen televisyen swasta yang terkenal ketika itu. Perasaannya bercampur baur tatkala diberi peluang bergandingan dengan pelakon terkenal sedangkan dia hanya seorang pelakon baru. “ Eman Manan memang seorang pelakon yang mempunyai auranya tersendiri. Berlakon di sampingnya memang membuatkan saya rasa berdebar dan gementar. Namun begitu, Eman tidak lokek memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya tentang teknik lakonan yang betul dan berkesan. Lagipun, siapa yang tidak gementar apabila berlakon di samping kekasih majikan sendiri,” sambung Liza dalam senyum yang panjang.

 

MENARIK BULAN INI

Selain temu bual lebih lanjut bersama selebriti penghias muka depan kali ini, ikuti kisah seorang suami yang tetap tenteram walaupun didera isteri menerusi Diari Suami, Siapa VIP Di Sisi Allah, Apa Patut Buat Bila Idea Anda Dan Bos Tak Seiring, Ranjang Orang Lama: Lebih Asyik dan Hangat?, 10 Tip Semarakkan Kasih Sayang Sepanjang Tahun, Jaga Cucu: Terbebankan Anda?, Kisah Hareez ynag dilambung dan dicampak pembantu rumah, resipi Strawberry Glazse Pie dan banyak lagi. Semuanya boleh dibaca menerusi majalah MIDI keluaran 15 Disember 2013.