Dua tahun menanti, hajat penulis untuk memotret wajah wanita ini untuk menghiasi muka depan MIDI akhirnya tercapai. Meski hadir dengan gaya ringkas, blaus putih, denim biru dengan selendang hitam menutupi kepala, kejelitaan tetap terserlah di wajahnya. Seperti mana kebiasaan, kemunculannya pagi itu ditemani suami tersayang, Mustapha Kamal. Cuma tidak lama kerana aktor tersebut telah bergegas ke lokasi penggambaran. Namun, sempat berjumpa dengan 'tuan rumah', Dato Abol Hassan, yang merupakan salah seorang kenalan lamanya.

 

MASIH 'BERBISA'

Tidak perlu menunggu lama, sesi menata rias yang dilakukan oleh juru mekap terkenal Saidatulnisa berlangsung pantas. Sesi fotografi yang dilangsungkan juga tidak lama memandangkan aktres ini masih 'berbiasa' di hadapan kamera. Senyuman manis yang terukir di samping lenggokan badan, kekal menyerlahkan auranya sebagai selebriti terkenal.

 

"Terkenal lagi ke? Lama dah saya tak berlakon," katanya sambil ketawa kecil merendah diri.

 

Mungkin untuk generasi muda hari ini, nama Susan Manen agak asing tetapi bagi mereka yang mengikuti perkembangan industri tempatan, pasti tahu siapakah gerangan wanita jelita ini.

 

Pada usianya yang bakal memasuki 40 tahun pada pertengahan tahun ini, Susan masih lagi anggun. Siapa sangka, walaupun sudah beranak empat, sosok tubuhnya mengalahkan anak dara.

 

"Alhamdulillah, walaupun tidaklah terlalu beriya-iya menjaga makan, namun saya masih begini. Begitu pun saya pernah melalui pengalaman kenaikan berat badan selepas melahirkan anak yang kedua. Waktu itu hanya Tuhan saja yang tahu betapa risaunya saya. Namun, saya cepat mengingatkan diri dengan mengatakan 'Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.'

 

"Jadi bermula hari itu, saya 'berkira-kira' juga dengan pemakanan setiap hari. Selain pengambilan suplemen yang saya amalkan sejak usia memasuki 30an dahulu, ligat menguruskan keperluan rumah tangga juga menjadi faktor utama mengapa saya masih mampu mengekalkan berat badan yang ada. Turun naik tanggalah katakan," jelasnya sambil tersenyum.

 

MENARIK BULAN INI

Antara kandungan menarik adalah Isu kahwin baru: Mengapa lebih gah dan meriah?, Suami hilang kerja apa peranan isteri, Jeragat musuh kulit wanita berusia, Rawat anemia ketika hamil lewat usia, Adilkah anda terhadap anak-anak, Tip lahirkan pekerja produktif, 12 tip pikat suami di ranjang, Jom cuba masak Banoffe Pie dan banyak lagi. Semuanya boleh diperolehi menerusi majalah MIDI keluaran 1 Mac 2014.