Bukan mudah sebenarnya mengumpulkan tiga nama besar dalam dunia glamor ini. Peluang diberikan oleh pihak Astro tidak disiasiakan oleh MIDI. Program Primadona menggandingkan empat orang selebriti wanita hebat yang tidak asing lagi dalam dunia hiburan tanah air iaitu Raja Azura, 41, Ziela Jalil, 42, Rozita Che Wan, 41 dan  Erra Fazira, 39. Biasanya pengacara muda menjadi pilihan stesen-stesen TV lantaran itu gandingan mereka telah menaikkan martabat wanita 40-an. Semakin berusia semakin laku, bak kata orang. Kepetahan mereka melontarkan pendapat dalam permasalahan wanita menjadi contoh yang baik.

 

“Saya lebih matang sejak kehilangan suami" - Ziela

 

Nama wanita ini tidak pernah hilang dalam industri hiburan tanah air. Walaupun kelibatnya sedikit masa dahulu ‘hilang’ daripada lensa kamera dia tetap aktif di balik tabir. Mengemudi syarikat penerbitan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd., membuatkan namanya sentiasa ada dalam industri lakonan. Ibu kepada Puteri Julia Nabilah, 20, dan Megat Jufri Nasrullah, 18, dan Ibrahim Junid Abdullah ini bijak mengatur strategi hidupnya. Selain mula berlakon semula wanita ini juga memberanikan diri mencuba pengalaman baru sebagai pengacara. Mari ikuti temu bual kami yang berlangsung sejurus tamat rakaman program tersebut.

 

MIDI: Apakah persepsi anda tentang keberanian wanita hari ini melontarkan pendapat masing-masing? Bagaimana anda boleh menerima tawaran untuk menyertai program PRIMADONA ini?
ZIELA: Pada pandangan saya, keberanian wanita sekarang melontarkan pendapat adalah sangat positif. Jika dahulu isteri selalu memendam rasa jika diperlakukan suami kini tidak lagi. Wanita sekarang lebih bebas melontarkan pendapat dan menyuarakan rasa hati. Semasa mendapat tawaran untuk mengacara rancangan ini, pada mulanya saya tidak mahu menerimanya. Sebabnya saya menyusukan anak angkat saya dan tentunya tidak selesa penonton melihat saya berbadan besar. Tapi, atas galakan kawan-kawan saya menerima tawaran tersebut. Selepas mesyuarat pertama, saya rasa gembira dan berpeluang mencari pengalaman baru.

 

MIDI: Secara peribadi, adakah anda menganggap diri anda seorang primadona?
ZIELA: Tidak. Saya tidak menganggap diri saya seorang primadona. Tetapi, saya memandang ibu, ibu mertua dan anak perempuan sebagai primadona saya. Pengorbanan seorang ibu yang memelihara anak sehingga berjaya dan pengorbanan ibu mertua yang sentiasa menjaga keperluan serta hati menantu. Anak perempuan juga saya anggap sebagai primadona kerana sekarang dia sedang mengikuti kursus kedoktoran di Dublin dan kini sudah berhijab.

 

MIDI: Anda sudah mencapai usia 40-an dan apakah angka ini bawa apa-apa perubahan pada diri anda secara peribadi?
ZIELA: Bagi saya perubahan hidup saya bukan berubah ketika usia 40 tetapi kurang daripada itu. Kehidupan saya berubah 360 darjah sejak kehilangan suami pada usia saya 37 tahun. Saya rasa diri ini lebih matang daripada usia sebenar kerana perlu menjadi ketua keluarga sejak kehilangan arwah.

 

 

“Rezeki saya berkat doa anak-anak”
– Raja Azura

 

Siapa tidak kenal dengan wanita yang mesra disapa Kak Engku ini. Suaranya bersiaran setiap pagi di corong radio. Seorang wanita yang mudah didekati dan sentiasa memberi kerjasama. Sifatnya mesra kamera dan bijak mengatur kata memberinya peluang mengacara banyak program televisyen. Ibu kepada Megat Muhammad Raziq,10, Megat Luqman Hakim,9, dan Puteri Mia Maizurah, 6 ini memang seorang wanita kental demi membahagiakan kehidupan anak-anak. Mari berkongsi pendapatnya dengan MIDI.

MIDI: Apakah persepsi anda tentang keberanian wanita hari ini melontarkan pendapat masing-masing? Bagaimana anda boleh menerima tawaran untuk menyertai program PRIMADONA ini?

RAJA AZURA: Keberanian wanita sekarang melontarkan pandangan dan pendapat adalah sesuatu yang baik. Saya juga sebagai penyampai radio mengambil peluang yang ada untuk melindungi hak wanita. Melalui program-program yang ada kita berkongsi tentang kehidupan sebenar seorang wanita. Secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan seseorang wanita. Saya teruja menyertai program ini kerana program ini lain daripada yang lain. Program ini menghimpunkan empat orang selebriti sebagai pengacara. Kami mempunyai pandangan masing-masing dan bersatu dalam sebuah rancangan.

 

MIDI: Secara peribadi, adakah anda menganggap diri anda seorang primadona?
RAJA AZURA: Bukan mudah menggalas tugas sebagai seorang primadona. Walaupun saya sudah 27 tahun menceburkan diri dalam industri ini, saya masih belum layak menerima gelaran ini. Belum lagi.

 

MIDI: Anda sudah mencapai usia 40-an dan adakah angka ini bawa apa-apa perubahan pada diri anda secara peribadi?
RAJA AZURA: Secara peribadi saya suka pada usia ini. Jika diberi pilihan hidup dalam usia muda dan usia 40-an, saya memilih 40- an. Saya suka diri saya pada usia ini kerana kematangan dalam berfikir dan bertindak. Saya lebih tenang dan positif ketika ini.

 

“Saya mahu cantik untuk kepuasan sendiri"-Rozita

Nama wanita cantik ini tidak pernah sepi dalam dunia hiburan tanah air. Ada sahaja gosip tentang dirinya terutama bercinta dengan anak muda. Bijak menjaga penampilan diri dalam usia ini membuatkan wanita ini menjadi kegilaan lelaki. Ibu kepada Ammar Effendi dan Aniq Ezzra ini berlakon bukan bersandarkan rupa paras semata-mata. Bakat yang ada dalam dirinya tidak disia-siakan demi kehidupan anak-anak. Tidak membiarkan peluang berlalu di depan mata sebagai pengacara program bual bicara, wanita yang berasal dari utara ini menyahut cabaran tersebut. Mari ikuti temu bual kami.
 

MIDI: Apakah persepsi anda tentang keberanian wanita hari ini melontarkan pendapat masing-masing? Bagaimana anda boleh menerima tawaran untuk menyertai program PRIMADONA ini?
ROZITA: Wanita sekarang bukan seperti wanita dahulu yang banyak duduk di ceruk dapur. Suara wanita kini dapat didengar di parlimen dan saya berbangga apabila ramai tokoh wanita yang menjawat jawatan seperti gabenor, saintis, ahli politik dan sukarelawan. Setelah lima tahun saya berlakon, peluang menjadi pengacara ialah perkara baru dalam hidup saya. Saya suka mencuba perkara baru dan saya gembira menerima pelawaan daripada pihak Astro menyertai program ini.
 

MIDI: Secara peribadi, adakah anda menganggap diri anda seorang primadona?
ROZITA: Memang tak lah. Saya belum layak bergelar primadona, jauh panggang daripada api.
 

MIDI: Anda sudah mencapai usia 40-an dan adakah angka ini bawa apa-apa perubahan pada diri anda secara peribadi?
ROZITA: Banyak perubahan dalam diri terutama dari segi emosi.