Pesona desa yang nyaman dan menenangkan menyambut kunjungan penulis, jurugambar dan kru MIDI yang lain pada petang itu. Seperti mana yang telah dirancang dua minggu sebelum itu, kami bakal mengadakan sesi fotografi bersama Pakar Perunding Mata terkenal,Prof.Dr.Muhaya Mohamad.Tidak berseorangan, beliau kami gandingkan dengan bekas personaliti popular TV3, Raja Mazian Raja Mohamed yang kini seorang ahli perniagaan berjaya.

 

"SAYA BERCERAMAH KERANA MINAT...” - PROF. DR. MUHAYA

Kehadiran Prof. Dr. Muhaya Mohamad dalam kalangan pendakwah tanah air nyata mencetuskan fenomena tersendiri. Biar ada yang meragui keupayaannya di peringkat awal, namun wanita yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu ini tetap meneruskan langkahnya. Ini kerana niat asalnya hanyalah untuk berkongsi ilmu yang diperoleh bersama orang ramai, bukan ‘mencipta publisiti’ mahupun ‘memandai-mandai’ seperti manayang didakwa oleh sesetengah pihak.

 

“Ramai yang tidak perasan sebenarnya, kebanyakan perkongsian saya lebih terarah kepada motivasi. Saya juga banyak mengingatkan umum tentang kepentingan sebuah kebaikan dan apa juga yang bersifat positif dalam hidup. Tidak pernah sekali pun saya mengupas atau pun mengeluarkan hukumhakam seperti mana para pendakwah kita kerana kemahiran saya bukan di situ,” jelas beliau memberitahu.

 

Tambah beliau lagi,” Bagi saya, sia-sialah hidup ini jika kita tidak menggunakan ilmu yang ada dengan sebaiknya serta menyalahgunakan rezeki yang dikurniakan Allah SWT. Berteraskan itulah saya muncul di khalayak untuk berkongsi segala ilmu yang bermanfaat agar kita dapat sama-sama ‘Amar makruf nahi mungkar.”

 

“DUNIA DULU DAN KINI BERBEZA” RAJA MAZIAN RAJA MOHAMED

Bukan lagi nama asing yang perlu diperkenalkan. Selain pernah mengendalikan rancangan bual bicara NONA di TV3 dahulu, penglibatannya dalam rancangan Al Hidayah sekitar lapan tahun yang lalu memberi makna yang tersendiri. Pengisiannya bukan sahaja bermanfaat malah topik-topik yang dipaparkan waktu itu menepati cita rasa penonton.

 

“Tidak kiralah reaksi ketika itu kritikan mahupun pujian. Apa yang penting bagaimana mahu memperkasakan Al Hidayah dan memastikan ia dapat memenuhi selera penonton, khususnya mengisi bahanbahan yang bernas,’’ ujar wanita bertubuh kecil molek ini, memulakan perbualan kamipetang itu. Kini semua itu hanya tersimpan kemas dalam kotak ingatannya. Sebaik mengundurkan diri daripada dunia penyiaran dan melibatkan diri secara total dalam dunia perniagaan, membuatkan rutin Raja Mazian turut berubah. Yang pasti apa yang dilakukannya kini lebih kepada mencari reda Allah, di samping berdakwah kepada masyarakat.

 

MENARIK BULAN INI

Sempena Syawal ini, ikuti 10 gaya tudung yang mudah, selesa dan praktikal. terdapat juga resipi aneka rendang pembuka selera dan DIY beg duit raya untuk si kecil. Antara paparan menarik yang boleh dikongsi bersama anda adalah teruja pertama kali beraya dengan menantu, kisah pasangan terpisah kerana talak, Syawal di bumi asing : Meriah atau hambar, penyakit darah tinggi seumur atau boleh pulih dan banyak lagi menerusi isu 1 Ogos 2013.