Imej seksi sememangnya sudah sinonim dengan wanita jelita ini. Malah beliau pernah mendapat gelaran 'Artis Paling Seksi' oleh satu majalah hiburan pada 1990.

 

Bagaimanapun, dalam usianya kini, Datin Hajah Ramziela Radzillah, 48, telah banyak berubah. Dunia glamor sebagai penyanyi sudah lama ditinggalkan apabila bertemu jodoh dengan suami tersayang, Datuk Sallehuddin Kassim, 62, pada 16 September 1999. Hampir 14 tahun mendirikan rumah tangga bersama suami tersayang, kehadiran seorang cahaya mata perempuan, Lily Nurlynna, 12 tahun menjadi penyeri kehidupan wanita berusia 48 tahun ini.

 

TAK BANYAK BERUBAH

Tidak banyak perubahan pada susuk tubuhnya yang masih jelita walaupun penampilan kini jauh lebih sopan dengan mengenakan hijab. Namun, imej rock tetap terlihat pada penampilannya yang aktif dalam melakukan setiap tugasan seharian.

 

“Alhamdulillah saya bahagia dengan kehidupan kini di samping keluarga. Saya sudah lama meninggalkan gemerlapan dunia hiburan. Selain mengurus rumah tangga, saya kini bertanggungjawab membantu suami menguruskan syarikat keselamatan yang dikenali sebagai DSK Security

Management Services. Selain itu, kini saya mengusahakan MISICAFE di Sime Darby Pavillion, Bukit Jelutong, Shah Alam sejak September tahun lalu. Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan,” ujar Datin Ramziela ketika menjalani sesi fotografi muka depan MIDI di MIsiCafe & Shoppe kepunyaannya.

 

Tambahnya lagi, buat masa ini pelanggan MISICAFE terdiri daripada pelajar kumpulan pertama Malaysia Institute For Supply Chain Innovation (MISI) seramai 40 orang. Kebanyakan pelajar ini merupakan pelajar antarabangsa dari Australia, Amerika dan India. Selain itu, pengunjung kelab yang bermain golf juga merupakan antara pelanggan tetap MisiCafe & Shoppe.

 

“Misicafe dikunjungi ramai daripada golongan pelajar jadi kami tidak boleh meletakkan harga terlalu mahal. Justeru itu, makanan yang kami sediakan harus menepati cita rasa mereka,” kata Datin Ramziela.

 

Antara menu popular yang disediakan termasuklah Swedish Meatball dan bubur Teowchew. Bagaimanapun, untuk menepati selera tempatan, ada juga menu yang digemari seperti Mi Goreng, Nasi Goreng, Mi Bandung, Cucur Udang, pelbagai jenis kuih muih Melayu dan juga Nasi Campur.

 

MENARIK BULAN INI

Antara kandungan menarik adalah Diari Suami: Perut Makin Buncit, dompet makin kempis!, 15 Tip Bantu Anak Remaja Berubah Positif, Thread Lift: Kaedah Tegangkan Kulit Wajah Dalam 20 Minit, Bagaimana Merawat Darah Beku Dalam Paru-Paru?, Azam: Mampukah Merangsang Kejayaan?, Ahmad Ammar Mujahid Yang Ditangisi Pemergiannya dan banyak lagi. Terdapat juga aneka hidangan pencuci mulut yang menyelerakan. Semuanya boleh diperolehi menerusi majalah MIDI keluaran 1 Januari 2014!