Meskipun tarikh temu janji yang diberikan kepada pelakon ini agak singkat, nyata ia bukan halangan untuk dia hadir ke studio kami tepat pada waktu yang dijanjikan.

 

Tampil ringkas dengan kemeja putih berjalur biru dan celana coklat, penampilannya tambah anggun dengan selendang yang melilit di kepala. Nyata perubahan ini menambahkan lagi keserian wajah Tengku Sariza Tengku Muzani atau lebih dikenali sebagai Kuza.

 

"Alhamdulillah, inilah saya sekarang. Kembali kepada fitrah pada usia mencecah 40 nyata memberikan kedamaian jiwa yang sukar untuk diceritakan," jelasnya membuka bicara kami petang itu.

 

Jika tahun-tahun terdahulu niatnya untuk berubah sering 'tersekat' dek diri sendiri, nyata kunjungan Ramadan thaun ini berjaya 'membulatkan' tekad wanita ini untuk berubah ke arah yang lebih baik. Tidak mahu menjadikan hijab yang dipakai sebagai tanda kebaikan seorang individu, Kuza mengambil langkah positif dengan menjaga segala yang berkaitan dengan tatasusila dirinya terlebih dahulu agar tidak timbul sebarang isu yang tidak diingini di kemudian hari.

 

"Ini bukan bermakna saya takutkan dengan pandangan orang lain terhadap diri saya kerana perubahan saya ini kerana Allah SWT. Cuma tak seronok rasanya kalau saya terus melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan keaiban kepada diri saya sendiri. Disebabkan itulah, saya telah memperkemaskan diri dalam segala segi agar lebih bersedia dengan perubahan diri yang dijalani," tuturnya lembut.

 

Menolak anggapan sesetengah pihak yang berasakan Kuza bakal meninggalkan industri seni yang telah pun disertai hampir 20 tahun lamanya, dia memberitahu, "Buat masa dan ketika ini, minat saya pada seni masih menebal. Begitu pun saya akan tetap mempertahankan tudung ini sama ada di luar mahu pun lokasi. Disebabkan tidak mahu menyusahkan banyak pihak jugalah, saya akan memberitahu pihak produksi yang menawarkan watak pada saya tentang penghijrahan ini. Jika ada rezeki saya, mereka menerima penampilan baru saya ini dengan terbuka. Tapi jika sebaliknya, saya reda rezeki yang datang bukan milik saya."

 

MENARIK BULAN INI

Selain kisah Kuza yang kini sudah bertudung, ikuti Tip Kerja Dari Rumah, Andalah Bos!, 13 Suntikan Serum Cinta, Pedih Ulu Hati: Petanda Penyakit GERD?, Duhai Isteri, Orgasma Pun Hak Anda!, Kekal Langsing Walau Makan Nasi, Isu Wanita Berusia, Apa IStimewa Di Mata Lelaki Muda dan banyak lagi. Semuanya boleh diperolehi menerusi majalah MIDI keluaran 1 Oktober 2013!