Lima belas tahun yang lalu, penulis sering juga mengikuti penyanyi ini saat dia mengadakan persembahan. Melihat dia menjadi kegilaan ramai peminat bagai mengiyakan, pilihannya untuk membawakan irama dangdut ketika itu satu langkah tepat. Biar pernah muncul dengan genre berbeza sebelumnya, kehadiran Mas Idayu sebagai penyanyi lagu-lagu dangdut lebih terkesan. Dan ia masih berlanjutan sehingga kini.

 

Bertemu dengannya dalam sesi fotografi yang diatur, bagai menemukan kembali 'adik dan kakak' yang sudah berbelas tahuntidak berjumpa. Mengagumkan penulis, Mas Idayu masih lagi kekal cantik dan langsing  meskipun usianya tahun ini mencecah 42 tahun. Dan saat ditanya rahsia dia mampu mempertahankan bentuk tubuh tersebut, pantas dia menjawab, "Elakkan makan nasi. Lebih-lebih lagi  untuk yang kurang bersenam macam awak!"

 

Jika baru mengenalinya, pasti hati terusik dengan kata-kata tersebut. Namun itulah sikap Mas Idayu yang penulis kenali sejak sekian lama; tidak hipokrit serta ikhlas dalam melontar pandangan. Namun tidak semua dapat menerima caranya itu, lantas ramai yang melabelkan wanita yang berasal dari Kota Tinggi, Johor ini sebagai 'si celopar', 'mulut laser' dan pelbagai lagi yang seangkatan dengannya.

 

"Hidup kalau nak mengikut kata orang, memang tak ke mana. Sebab itu saya lebih senang menjadi diri sendiri. Tidak perlu nak berlakon semata-mata nak menjaga hati dan perasaan  orang lain, sedangkan dalam hati sendiri sakit. Lebih-lebih lagi kalau yang berkait rapat dengan bidang nyanyian yang menjadi kerjaya saya selama ini. Perkara yang terang-terangan sumbang dikatakan elok; itu bukan cara saya. Kebenarannya selalunya pahit tapi bagi saya, itulah penawar paling mujarab," katanya panjang lebar sambil wajahnya terus disolek juru mekap terkenal, Esham.

 

MENARIK BULAN INI

Antara kandungan menarik untuk dibaca adalah Isu: Mampukah ibu dan anak bersahabat di laman sosial?, Tip jadi pekerja kesayangan bos, Ketahui rahsia pelukan suami isteri, Sakit kepala dan muntah apa petanda?, 7 cara rapatkan jurang generasi nenek dan cucu remaja, Diari suami: Saya terlalu cincai dia terlalu teliti, Resipi hidangan barat yang lazat dan banyak lagi. Semuanya boleh diperolehi menerusi majalah MIDI keluaran 15 Mac 2014 ini!