Kehadirannya di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf tanpa secalit mekap pun. Namun, aura sebagai penyanyi dan pelakon yang dirindukan peminat tetap ada padanya. Ditambah pula dengan suaranya yang manja. Itulah Raja Ema Raja Ibrahim, 45.

 

Potongan rambut pendek gaya bob menambah kecomelannya. Keramahannya membuatkan penulis terasa akrab dengannya walaupun pada hakikatnya baru kali pertama bersua wajah.

 

Umum mengetahui kemunculan pertama Raja Ema di media sejak meniti noktah akhir dalam arena seni ialah penampilannya sebagai penghias kulit majalah Nona edisi November 2012. Sejak itu dia mulai meniti momen indah selepas come back diterima peminat. Dia semakin aktif berlakon drama dan juga menyanyi. Terkini, single terbaru Raja Ema bersama RJ bertajuk Warna hatiku menduduki tempat pertama dalam carta Hot FM.

 

"Saya tak sangka masih ada peminat selepas sekian lama menyepi dalam dunia seni. Kehadiaran saya tidak pernah dirancang tetapi menyambut baik tawaran majalah Nona yang telah sekian lama melamar saya," ujar Raja Ema yang memiliki dua orang anak iaitu Putera Amar,19 dan Putera Alqasha,17.

 

RAHSIA BENANG DALAM PIPI

Memiliki seraut wajah yang comel dan menawan, terasa ingin mengetahui rahsia kecantikannya. Raja Ema mengakui bahawa dia menjalani rawatan menegangkan kulit wajah yang dinamakan 'thread lift' di sebuah hospital di sekitar ibu kota.

 

"Saya buat rawatan kecantikan ini hanya untuk menegangkan kulit wajah sahaja. Saya bukan menambah atau mengubah apa-apa misalnya mancungkan hidung atau menebalkan bibir, Bagi saya sama saja tujuannya jika kita pakai krim untuk menganjalkan kulit wajah. Bukannya menyuntik silikon atau botox yang nyata mengubah wajah seseorang," ujar Raja Ema menegaskan mengenai rawatan kulit wajahnya.

 

Bagi artis ini, apabila mulai mencecah usia 40-an, maka struktur kulit tidak lagi anjal seperti ketika muda. Dia berfikiran tidak salah untuk mencuba rawatan 'thread lift' yang tidak berbahaya sebagaimana rawatan lain yang dikatakan mengubah bentuk muka.

 

"Prosedurnya lebih kurang dua jam sahaja. Hanya sakit kala prosedur dijalankan. Kemudian saya rasa OK. Saya tekad ambil rawatan ini kerana doktor menerangkan bahawa rawatan ini tiada sebarang suntikan pun. Hanya memasukkan benang pada bahagian pipi  dan diikat di bahagian  atas kepala. Kulit pun jadi tegang," ujarnya yang mengakui kosnya tidaklah semahal mana.

 

MENARIK BULAN INI

Antara kisah menarik yang dipaparkan untuk isu kali ini adalah "Seksanya bila aku jadi 'Isteri Simpanan!'", "Orang ketiga: Serius atau main-main?", "Bolehkah gaya hidup sihat elak kanser hati?", "Praktikkan! 10 cara bangkit daripada kegagalan", "Awas! Angina ! Risiko serangan jantung", "Nikmatnya bila anda bahagiakan suami", "Sajian berasaskan buah, mudah dan sihat" dan banyak lagi. Semuanya boleh diperolehi menerusi majalah MIDI keluaran September 2013.