Wajahnya sering kali muncul di kaca televisyen sekitar tahun 90-an dalam banyak drama termasuklah drama siri pendekar yang cukup digemari ketika itu. Populariti yang diterima menjulang tinggi namanya sebagai aktres yang cukup berbakat.

 

Hadir bersama bayi perempuan yang diberi nama Puteri Zahra Adriana Mohd Ruslan, 4 bulan,Tengku Noraishah Tengku Abdul Aziz, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Tasha Aziz, tersenyum mesra sebaik tiba di lokasi penggambaran bersama Team MIDI. Nyata sekali aktres yang kali terakhir dilihat berlakon secara aktif tahun lalu dalam Telemovie Raya ‘Lepas Raya Harap Balas’ ini baru sahaja beberapa bulan habis berpantang.

 

Personalitinya masih seperti dahulu, ramah berbicara. Wajahnya semakin manis, penuh sifat keibuan. Tahi lalat di wajahnya menambahkan lagi penampilan manis dan lembut empunya diri. Menariknya, walau usia meningkat sekalipun seakan ia langsung tidak menjejaskan kejelitaannya. Walhal, selebriti yang semakin ligat menerima tawaran produksi di syarikat sendiri, Temenggong Pictures Sdn. Bhd. ini sudah pun mencecah usia 42 tahun.

 

Meski sibuk dengan pelbagai urusan kerjaya dan juga keluarga, Tasha tetap tidak menghampakan hasrat Team MIDI untuk mengabadikan wajahnya sebagai penghias muka depan majalah ini khusus untuk tatapan peminat yang begitu merindui kemunculannya. Ibu kepada lima orang anak ini sebenarnya juga mengakui agak rindu untuk kembali berlakon. Namun hasrat untuk berlakon dipendamkan dahulu bagi memberi tumpuan terhadap tugas-tugas di belakang tabir.

 

RINDU BERLAKON

Menurut Tasha, meski semakin kurang berlakon, namun sesekali dia tetap berpeluang berlakon. Malah ketika sedang berbadan dua baru-baru ini, Tasha masih dijemput menjadi artis jemputan dalam sebuah drama seorang sahabatnya. Walau sibuk, Tasha sedaya upaya memenuhi jemputan tersebut. Itupun apabila sesi penggambaran tidak mengambil masa yang panjang. (selanjutnya dalam majalah MIDI)

 

MENARIK BULAN INI

Selain kisah menarik pelakon yang sinonim depan drama Spektra suatu ketika dulu, ikuti juga Isu: Jenayah Rogol, Awas Wanita MIDI! Anda Berisiko!, 9 Tip Bila Anak Dan Internet Bersahabat Baik!, Suami Abai Nafkah, Apa PAtut Buat?, Tahi Lalat: Pemanis Wajah Atau Berisiko Kanser?, Menu Barat Lagi Sihat dan Kisah Dato' Jamelah A Bakar Kongsi Pengalaman Temu Ramah Tokoh Negara. Ketahui juga ruangan baru seperti Melentur Buluh, Citra Prihatin, Sepatu Cinta, Tangga Kerjaya, Mentor Sukses, Izinku Bahagia, S&J Kaunseling dan Berani Berubah. Semuanya boleh diperolehi menerusi majalah MIDI keluaran 1 November 2013.