Kedatangan Aidiladha sememangnya memberi seribu makna buat tiga orang personaliti yang menghiasi muka depan MIDI edisi 15 Oktober ini. Mana tidaknya, ketiga-tiga wanita ini mempunyai pengalaman tersendiri sepanjang menceburkan diri dalam dunia hiburan dan kini sebaik usia mencecah 40-An, mereka melakukan perubahan besar dalam diri masing-masing. Bagi Datin Ilyka dan Leina Hangat, mengenakan hijab adalah penghijrahan terbaik yang telah mereka lakukan untuk menjadi seorang muslimah yang lebih baik di masa akan datang. Bagi laila nasir yang pernah dikenali melalui lakonannya di dalam filem Harry Boy, keputusan untuk kembali aktif dalam dunia lakonan dibuat secara tidak sengaja setelah mendapat keizinan dari suami tersayang tahun lalu utnuk mengisi masa lapang setelah anak-anak sudah besar dan boleh berdikari.

 

Saya lebih tenang selepas berhijab - Leina Hangat

Melihat penampilan terkini yang diberi jolokan nama Leina Hangat yang kini berhijab, wajahnya terserlah ayu di dalam hijab yang digayakannya. Malah, ketika sesi fotografi berlangsung, genap sebulan Leina atau nama sebenarnya Norazlina Abd Rahman mengenakan hijab.

 

"Alhamdulillah sejak sebulan yang lalu, saya sudah tampil berhijab selepas menghadiri kursus keagamaan yang membuatkan hati saya terus terdetik untuk bertudung. Saya belajar dan diajar untuk mengenal diri, sesungguhnya tiada yang kekal di dunia dan semua hanya pinjaman oleh Allah SWT. Saya sedih hamba Allah ini terlalu banyak dosa dan lalai selama 40 tahun dipinjamkan udara tanpa rasa bersyukur apatah lagi saya yang dilahirkan Islam pun tidak pernah rasa bersyukur."

 

Hijab bukan halangan cebur aktiviti lasak - Datin Ilyka

Seorang lagi penyanyi yang kini tampil berhijab sejak enam bulan yang lalu ini bersyukur kerana keinginan utnuk bertudung datang dari dalam diri  sendiri tanpa paksaan dan ia merupakan satu perubahan yang paling manis buat Datin Ilyka atau nama sebenarnya Zuraila Mohamed Yassin.

 

"Alhamdulillah penampilan berhijab ini memberi ketenangan buat diri saya. Walaupun kini tampil berhijab, rezeki dalam bidang seni masih terbuka luas buat diri saya. Saya masih aktif dalam bidang seni cuma agak kurang cerita tentang saya di majalah. Saya masih mendapat jemputan menyanyi dan baru selesai menjalani rakaman sebagai hos rancangan berkonsepkan wanita iaitu Citrawanita untuk RTM 1," ujar Ilyka yang mudah mesra.

 

Pemergian suami ubah kehidupan kami sekeluarga - Laila Nasir

"Sebenarnya, saya kembali aktif dalam dunia lakonan secara tidak sengaja setelah mendapat keizinan suami. Ketika itu, saya menerima tawaran berlakon sekadar suka-suka untuk mengisi masa lapang disebabkan anak-anak sudah mengikat remaja. Dalam masa yang sama, saya tidak pernah lupa tanggungjawab saya pada rumahtangga dan anak-anak kerana saya berpegang pada janji terhadap suami, iaitu rumah tangga diutamakan."

 

MENARIK BULAN INI

Selain kisah panjang lebar tiga wanita yang hebat ini untuk diikuti, ketahui Isu Jodoh Lambat Kejar Karier Atau Suratan?, Perihal RON & Ikan Kembung, Semakin Berusia Kiblat Cemburu Suami Berubah?, Bagaimana Ingin Mengumpan Barakah?, DIY Kerongsang Bunga Comel, Resipi Mini Tart Blueberry Cheese dan banyak lagi. Semuanya boleh diperolehi menerusi majalah MIDI keluaran 15 Oktober 2013.