Tolak tepi cetakan corak paisley, polka dot, jalur, bunga-bunga kecil atau lain-lain yang sering menjadi pilihan wanita muda untuk bergaya. Kali ini, MIDI mahu kongsikan gaya berani untuk sesiapa saja yang tidak mahu ketinggalan dalam dunia fesyen.

 

Siapa kata wanita matang tidak boleh bergaya dengan fesyen yang bermotifkan cetakan geometri? Jika anda seorang yang benar-benar mengikuti perkembangan dunia peragaan dan penampilan selebriti yang sebaya anda, mereka bebas menggayakan corak geometri asalkan tidak keterlaluan.

 

Rupa corak geometri adalah corak yang mempunyai sudut seperti bulatan, segitiga atau apa saja bentuk yang bercampur sehingga menimbulkan kesan corak yang 'meriah'. Corak geometri terkenal dengan gambaran sebagai gaya wanita yang berfikiran terbuka, bebas pendapat dan berani.

 

Sedikit tip untuk tidak tampak keterlaluan, tampil seimbang dan lebih menonjol adalah dengan memastikan salah satu pemakaian anda sama ada seluar atau blaus terdiri daripada corak kosong. Elak mengenakan kedua-duanya bercorak geometri kerana akan menenggelamkan anda. Jadi, sudah bersedia untuk mencuba gaya cetakan geometri?