Awal Muharam atau Maal Hijrah merupakan suatu hari di mana ia menandakan beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam di mana salah satunya memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 masihi. Berlaku pada 1 Muharam, ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah atau permulaan bulan untuk kalendar Islam. Pengertian Hijrah ini begitu mendalam, di mana juga membawa erti penghijrahan dalam diri manusia untuk menjadi yang lebih sempurna. TV9 dan TV3 juga tidak lupa dalam menyelami pengertian Hijrah ini dengan menyiarkan beberapa program menarik bersempena Awal Muharam.

 

SELASA (5 NOVEMBER 2013)

ISTIQAMAH (TV9)

10 pagi

 

Semenjak suaminya sakit kerana diserang sakit jantung, Suriati mengambil alih tugas suaminya demi mencari sesuap nasi dan menampung perbelanjaan keluarganya. Suriati juga terpaksa berhutang dengan 'along' untuk merawat suaminya. Kedua-dua anaknya Dewi dan Liana juga sering lewat membayar yuran sekolah. Pelbagai kesusahan dilalui Suriati namun dia tetap istiqamah dalam menjalankan tanggungjawabnya. Suriati juga dicemburui oleh Raziah yang irihati dengan perniagaan kuihnya yang sentiasa laris dan digemari ramai, sehinggakan dia sanggup meletak racun dalam kuih yang disediakan Suriati. Akhirnya Suriati telah dituduh membunuh malah tuan rumah, Puan Rina mula menuntut sewa ruma tanpa perasaan belas.

 

AMPUN UNTUKMU (TV9)

12.30 tengahari

 

Hidup keluarga Liana daif, miskin dan makin terhimpit apabila Faris lumpuh. Haikal mencari kakaknya tanpa putus asa dan berjaya menemuinya lalu cuba memujuk untuk balik ke kampung. Akibat hutang, Liana dirogol dan tiada pilihan lain. Saleha kecewa kerana Liana bukan saja memalukan keluarga, malah menjadi penyebab kematian suaminya. Keampunan yang diharapkan Liana tapi maki hamun dan halau diterima. Masihkah ada keampunan untuk Liana?

 

HADIAH DARI SYURGA (TV9)

8.30 malam

 

Rania anak kepada Pak Imam yang agak liar telah membawanya ke kancah maksiat lantas menyebabkan dia mengandung anak luar nikah. Untuk mengelakkan diketahui keluarga terutama ayahnya, Rania telah berpura-pura untuk menjadi seorang anak yang solehah dan mula berpakaian menutup aurat untuk menyembunyikan perutnya yag kian membesar. Hafiz pemuda yang baru sahaja pulang dari Jordan selepas tamat mempelajari ilmu agama amat tertarik kepada Rania.

 

QARINA (TV3)

3 petang

 

Qarina, anak perempuan Azimal dan Rozita yang berusia 11 tahun. Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, Daniel dan Elfira. Ibu bapanya terlalu materialistik dan gemar menunjuk-nunjuk apa yang dimiliki mereka supaya orang ramai mengetahui mereka kaya. Satu hari, Qarina bertemu dengan Ustaz Adib, seorang yang pakar dalam seni khat Bahasa Arab. Dia mula mempunyai minat ke arah menulis dalam Jawi dan membaca Al-Quran. Walau bagaimanapun, ibu bapanya yang tidak mengamalkan ajaran Islam menentang sekeras-kerasnya minat terbaru Qarina ini.

 

RABU (6 NOVEMBER 2013)

MALAIKAT DI PINTU (TV3)

9.30 pagi

 

Ridwan sebelum ini dibesarkan di rumah anak yatim. Namun kini ibu saudaranya, Zai akan mengambil Ridwan untuk dijaga. Walaupun sudah beberapa tahun berkahwin, namun Zai dan Mus tidak dikurniakan anak. Mus kurang senang dengan kehadiran Ridwan namun dia mengikut sahaja permintaan isterinya kerana tidak mahu bertelagah. Walaupun Ridwan merupakan seorang anak yang baik dan patuh pada kata, Mus tetap tidak senang kerana baginya Ridwan merupakan orang luar. Zai mula berbincang dengan Ummi untuk menghantar Ridwan semula ke rumah anak yatim selepas hari raya nanti akibat desakan Mus. Sepanjang Zai di tempat kerja, Ridwan dibiarkan sendirian di rumah sehingga dia bertemu rakan baru iaitu Alif.

 

DARI SINAR MATA (TV3)

9 malam

 

Syamil dan Syara merupakan pasangan muda yang baru mendirikan rumahtangga. Syamil pula anak tunggal kepada Mak Som dan semenjak berkahwin Mak Som tinggal dengan mereka. Sikap Mak Som yang selalu mendesak supaya mereka mendapat cucu menyebabkan Syara dan ibunya terpaksa menipu mengandung. Syamil amat marah dengan penipuan itu. Syara akhirnya betul-betul mengandung dan berita gembira itu lalu disampaikan oleh Mak Som kepada Syamil yang sedang berkerja luar. Syamil menyambut berita gembira itu tetapi mengalami kemalangan. Syara pengsan dan Mak Som pula terus terkena strok apabila mendengar berita tersebut. Kejadian yang bertimpa itu membuatkan Syara insaf.