Sebut saja tentang peria, tentu saja tumbuhan ini dikategorikan sebagai sayuran yang tidak perlu ada di dalam rumah. Rasanya yang pahit membuatkan masyarakat tidak mempedulikan peria. Jika anda terus membaca entri ini, kami jamin anda akan mencari peria kerana khasiat dan resipi peria yang terbaik!

 

Di pasaran, anda boleh menemui dua jenis peria. Ada yang bersaiz panjang dan berwarna hijau muda. Peria yang bersaiz kecil dan berwarna hijau tua digelar peria katak.

 

Peria tumbuh menjalar seperti pokok timun. Peria mempunyai banyak khasiat yang diperlukan untuk tubuh badan. Setiap 100gm peria mengandungi 92.4 peratus lembab, protein 1.6 peratus, lemak 0.2 peratus, mineral 0.8 peratus, fiber 0.8 peratus dan karbohidrat 4.2 peratus.

 

PERIA GORENG TELUR BERKEJU

Bahan-bahan:

1 batang peria

1 biji telur

2 ulas bawang putih

2 ulas bawang merah

2 batang lada merah

1 sudu udang kering

1 keping keju cheddar

 

Cara Membuat:

Tumbuk kesemua bawang putih, bawang merah, lada merah dan udang kering sehingga lumat. Bahan ini ditumis sehingga naik bau. Kemudian masukkan peria (yang sudah direndam ke dalam air garam). Biar selama seminit sebelum memasukkan telur dan keju yang telah dikoyak-koyak. Kacau cepat-cepat supaya telur tidak melekat pada kuali dan supaya keju cepat cair serta bersalut bersama telur dan peria. Jika kurang masin, boleh masukkan secubit garam.

 

 

PERIA GORENG TEMPURA

Bahan-bahan:

1 batang peria

1 biji telur

2 sudu tepung jagung

1 bungkus tepung tempura

Garam

 

Cara Membuat:

Hiris peria nipis-nipis terpulang kepada citarasa sendiri. Jangan lupa rendam peria ke dalam air garam untuk menghilangkan sedikit rasa pahit. Di dalam sebuah mangkuk, gaulkan tepung tempura, tepung jagung, telur, garam dan air sehingga terhasil sebati dan pekat. Peria yang direndam perlu ditos sebelum dicelup ke dalam bancuhan tepung tadi. Kemudian goreng ke dalam minyak yang panas sehingga garing.

 

 

JUS PERIA SERBA BOLEH

Bahan-bahan:

1 biji peria

2 biji epal hijau

5 biji kurma manis (ganti madu atau gula)

Beberapa ketul ais

 

Cara Membuat:

Peria hendaklah direndam ke dalam air garam seketika. Kisar kesemua bahan sehingga hancur. Kemudian masukkan ais untuk melazatkan jus peria. Sesuai diminum setiap hari kerana membantu menurunkan bacaan pesakit kencing manis.

 

BONUS MIDI!

5 Khasiat Popular Peria

 

1. Membantu merawat penyakit kencing manis atau diabetes

2. Membantu merawat cirit-birit

3. Membantu merawat jangkitan cacing pada kanak-kanak

4. Daun peria membantu merawat buasir

5. Membantu merawat kencing bernanah