Dari kecil lagi kita sudah disogokkan untuk meminum lebih banyak susu bagi membantu tumbesaran yang sempurna. Sehinggalah kita sudah berumur, susu tetap pilihan terbaik bagi mencegah masalah osteoporosis, sakit yang digeruni pada peringkat umur ini. Jika lekas merasa muak minum susu, apa kata kita pelbagaikan menu sihat berasaskan susu sebagai hidangan utama dan sampingan harian.

 

BERAS PERANG BERKEJU BAKAR

 

Bahan-bahan:

1 cawan beras perang

50 gm isi ayam cincang

30 gm cendawan portabelo

30 gm cendawan butang

5 ulas bawang putih

5 ulas bawang merah

20 gm daun basil

1 cawan susu segar rendah lemak

3 sudu keju parmesan

1 biji tomato

 

Cara membuat:

Masak beras perang seperti biasa dan ketepikan. Di kuali yang lain, tumis bawang putih dan bawang merah yang dipotong dadu sehingga kelihatan seperti warna karamel. Kemudian, masukkan isi ayam cincang berserta hirisan cendawan portabelo dan cendawan butang. Biarkan sehingga sedikit layu sebelum memasukkan satu cawan susu segar supaya kelihatan sedikit lembap. Apabila nasi sudah masak, campurkan ke dalam campuran ayam tadi dan satukan ke dalam satu bekas. Akhir sekali, tabur keju parmesan dan susun hirisan tomato yang dihiris nipis di atasnya. Akhir sekali, bakar ke dalam ketuhar selama 35 minit dengan suhu 150 darjah Celsius.

 

TIRAMISU BERSUSU PENUH

 

Bahan-bahan:

1 paket biskut digestive

1 kotak kecil susu rendah lemak

1 kotak krim keju

1 kotak susu krim putar (whip cream)

3 sudu susu pekat manis

2 sudu jus lemon

 

Cara membuat:

Satukan keju, susu pekat manis, jus lemon dan krim susu (whip cream) di dalam satu bekas. Kacau sehingga naik putih dan gebu lalu dibiarkan terlebih dulu di tepi. Daripada menggunakan biskut jejari seperti Savourdi, apa kata tukar kepada biskut digestive yang tinggi kalsium dan protein. Rendam biskut digestive ke dalam air susu dan susun di dalam satu bekas yang bersih dan cantik. Selesai susun, lapis dengan krim yang telah dikacau tadi. Ulangi proses sehingga tamat. Akhir sekali, tabur dengan susu tepung di atasnya. Bolehlah dihidangkan setelah sejuk nanti.

 

BANANA YOGURT SHAKE WITH OATMEAL

 

Bahan-bahan:

2 ulas pisang mengikut kegemaran

1 cawan yogurt perisa asli

1 sudu mil oat

2 sudu madu

5 ketul ais yang sudah dikisar

 

Cara membuat:

Kisar kesemua gabungan bahan sehingga kelihatan seperti minuman yang sangat melazatkan.

 

TRIVIA

Susu lembu kaya dengan kandungan protein dan kalsium. Ia juga merupakan sumber baik bagi sejumlah vitamin. Satu hidangan (1 cawan atau 250 ml), 2% susu lemak mengandungi 285 mg kalsium yang mewakili 22% hingga 29% daripada jumlah yang dicadangkan secara harian. Apa yang penting, zat susu membantu pembentukan tulang, tenaga, kardiovaskular, sistem imunisasi dan penting untuk kognitif terutamanya daya ingatan.