Kadang-kadang, ada pasangan suami isteri dipandang sinis kerana mempunyai 'deretan' anak yang ramai. Persepsi masyarakat tentang keluarga yang mempunyai anak yang ramai pastinya hidup sentiasa tidak mencukupi dan menyusahkan. Bukankah keluarga yang mempunyai anak yang ramai itu sebenarnya lebih bahagia?

 

"Meriah!". Mungkin itu perkataan pertama yang keluar apabila keluarga besar berkumpul. Biar rumah kecil dan hidangan tidak penuh satu meja, tetapi sikap berkongsi dan hubungan rapat menjadikan keluarga besar lebih bahagia.

 

Jika dilihat dari segi pemikiran orang Melayu, kehadiran anak yang ramai adalah satu rahmat dan percaya semuanya adalah rezeki. Biar pun bergaji kecil, ia bukan halangan untuk memperoleh anak yang ramai kerana percaya apabila tua nanti, anak-anak boleh menjadikan kehidupan ibu bapa lebih senang.

 

Dalam pemikiran masyarakat moden pula, kesibukan dengan kerja , populasi, kehidupan yang mencabar dari segi membesarkan anak-anak dan kewangan menjadi penyebab mereka menolak untuk mempunyai anak yang ramai. Ada yang berpendapat, anak ramai akan lebih besar tanggungjawab dan tanggungan.

 

Pengaruh dari rakan-rakan dan sesetengah ibu bapa yang malu untuk mempunyai anak yang ramai pada zaman moden dianggap tidak relevan sedangkan setiap rezeki adalah datang dari Allah swt.

 

Rasulullah SAW sendiri sungguh gembira umatnya mempunyai anak ramai. Ini dapat dilihat dalam satu hadis diriwayatkan Abu Daud, Baginda bersabda maksudnya: "Nikahlah wanita yang mencintaimu dan subur. Sesungguhnya aku akan berbangga atas kamu kerana umat yang paling ramai.”

 

Anak ramai atau tidak, ia tetap menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memelihara, membesar dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang. Mengapa perlu menerima pendapat orang lain sedangkan Allah telah menetapkan rezeki buat setiap anak-anak? Di harap menerusi entri kali ini, tidak akan ada lagi persepsi anak ramai menyusahkan ramai pihak!