Ahad ini bakal bermula ibadah puasa yang merupakan rukun Islam ketiga buat umat Islam. Bagi pesakit kencing manis, anda perlu tahu masalah yang mungkin dialami jika berpuasa kerana ia boleh menyebabkan anda pengsan dan koma. Bunyi mengerikan?

 

Sebenarnya, berpuasa adalah baik untuk pesakit kencing manis lebih-lebih bagi yang mempunyai masalah berat badan berlebihan. Namun, sebelum mula berpuasa, ada beberapa panduan dan nasihat perlu diikuti supaya puasa tidak memudaratkan.

 

Perkara yang digeruni pesakit kencing manis ketika mahu berpuasa adalah cabaran diserang hipoglisemia (paras gula dalam darah terlalu rendah), hiperglisemia (paras gula terlalu tinggi) dan dehidrasi (kekurangan air). Perkara kedua adalah kawalan pengambilan ubat atau suntikan insulin.

 

Oleh demikian, pesakit kencing manis perlu bersahur, menyegerakan berbuka, makan ubat atau suntik insulin mengikut nasihat doktor, makan secara sederhana ketika berbuka dan bersahur, kurang makanan manis dan mengenali tanda-tanda hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi.

 

Bagaimana untuk mengetahui sama ada anda diserang hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi? Secara ringkas, rasa menggigil, sangat lapar, terlalu lemah, berpeluh-peluh, gelisah adalah tanda hipoglisemia.

 

Jika kerap buang air, terlalu dahaga, sesak nafas dan sangat letih adalah tanda hiperglisemia. Jika lidah terlalu kering dan terlalu dahaga pula adalah tanda dehidrasi.

 

Puasa itu boleh tapi biarlah berpada-pada buat pesakit kencing manis. Apa yang penting, jangan menganggap berpuasa adalah perkara yang memudaratkan buat anda sebaliknya ia ibadat yang perlu direbut!