Ramai yang menganggap tanda-tanda di bawah adalah perkara biasa apabila tidak mengambil pemakanan yang seimbang dan tidak cukup tidur. Hakikatnya, jangan ambil mudah kerana tanda-tanda di bawah adalah akibat tubuh anda kekurangan zat besi.

 

Keletihan melampau

Tubuh kita memerlukan zat besi untuk menghasilkan hemoglobin, di mana sel darah merah membekalkan oksigen. Sekiranya anda tidak mempunyai sel darah merah yang sihat dan mencukupi, tubuh anda mula menunjukkan rasa keletihan melampau.

 

Semput

Masalah ini sering terjadi sama ada anda berada di gim atau sekadar berjalan menuju ke kereta. Hal ini kerana kurangnya zat besi di dalam darah menyebabkan tubuh kekurangan oksigen.

 

Kulit pucat

Usah berbangga memiliki kulit pucat ala-ala watak dalam filem "Twilight". Ia bukan petanda yang bagus! Kulit anda tiba-tiba pucat kerana kekurangan sel darah merah dalam tubuh.

 

Mengganggu senaman

Anda berusaha untuk bersenam lebih lama malangnya anda lebih cepat penat dan ia mengganggu rutin senaman anda. Sebenarnya, ia petanda tahap zat besi anda pada kadar rendah sehingga menyebabkan anda seperti mahu pitam.

 

Kesakitan otot

Sebaik saja anda keluar dari pusat senaman, anda mungkin merasa sakit otot yang berpanjangan dari sebelumnya. Tidak mempunyai zat besi yang mencukupi akan menyebabkan otot tidak berupaya untuk memulihkan kesakitan yang dialami.

 

Kuku rapuh

Meskipun anda cuba menyembunyikan masalah kuku rapuh dengan mengunjungi pusat kecantikan kuku, maaf kerana ia tidak mungkin dapat membantu anda! Selagi anda kekurangan zat besi, anda akan berdepan dengan masalah kuku yang mudah rapuh, patah dan tidak cantik.

 

Sering sakit

Jangan ambil mudah apabila anda sering demam atau jatuh sakit. Hal ini boleh terjadi akibat tubuh kekurangan zat besi yang diperlukan.

 

Tunggu apa lagi, banyakkan stok menu seperti bayam rebus, kerang bakar atau jus belimbing untuk menambah darah!