Apa boleh buat jika sudah ditakdirkan mempunyai menantu yang malas, suka bangun lewat, tidak menghormati orang, suka bercakap besar, sombong dan apa saja sikap yang tidak menyenangkan. Entri kali ini mungkin membantu anda bahawa anda bukanlah mertua yang malang jika anda terus membaca artikel ini.

 

Pemilihan jodoh hari ini tidak lagi seperti zaman dahulu. Kebanyakan ibu bapa hari ini boleh dikatakan redha dan menerima sesiapa saja menantu yang bakal menjadi ahli keluarga. Hendak dinilai dan ditolak, dikatakan tidak memahami isi hati si anak pula. Lebih teruk, anda mungkin dilabel Nyonya Mansur, ibu kepada Sabariah yang menentang jodoh anaknya dengan Kasim Selamat!

 

Bila sudah diterima sebagai menantu, tidak semua mertua berpuas hati sepenuhnya. Ada saja yang tidak kena. Sikap menantu yang pemalas, tidak membantu di dapur apatah lagi tidak pernah memegang penyapu sudah boleh mengundang amarah. Bila sampai ke tahap menantu yang kerap bangun lewat, sombong dengan sanak-saudara, tidak menghormati ahli keluarga dan suka berlagak sesama ipar sudah cukup bikin mertua 'buat muka'.

 

Hakikatnya, anda sebagai mertua tidak perlu terlalu mengikut emosi. Merasa sedikit tersentuh atau terasa itu memang ada tetapi bukankah kebahagiaan anak adalah lebih penting? Memberi kata nasihat dan teguran itu boleh membantu membimbing menantu menjadi orang yang terbaik. Anda mungkin tertanya-tanya bagaimana mahu menegur menantu tanpa berlakunya perang dingin?

 

Anggaplah menantu seperti anak sendiri. Usah membezakan anak-anak sendiri dengan menantu. Jika anda seorang yang suka cakap lepas dan tidak beralas, lama-kelamaan menantu mula faham bahawa sikapnya yang pemalas tidak digemari oleh mertua. Kadang-kadang, berguna juga menjadi mertua yang bermulut 'laser'. Bukan apa, apabila menantu sudah terasa barulah hendak tersedar.

 

Tidak salah jika anda mengadu kepada anak sendiri dengan harapan anak anda akan memberitahu pasangan bahawa sikapnya tidak digemari. Ada sesetengah menantu tidak kisah baring di sofa, berpakaian seksi, bersuara tinggi dan sebagainya kerana sudah terbiasa dengan persekitaran keluarga sendiri.

 

Membawa menantu berbincang dengan mendidik menantu mengenali persekitaran hidup keluarga anda juga cara terbaik. Elakkan berbincang dengan mengeluarkan ayat sindiran sebaliknya guna nada suara yang rendah. Adalah lebih baik jika anda selitkan sedikit gurauan supaya ia tidaklah terlalu formal dan janggal.

 

Mempunyai menantu bukan setakat menyambung keturunan, membina keluarga besar dan mempunyai cucu tetapi ia sudah menjadi tanggungjawab anda juga untuk mendidik menantu sama seperti anda mendidik anak sendiri.

 

Jika keadaan ini terkawal, sudah pasti hubungan kekeluargaan akan lebih harmoni tidak kira menantu lelaki atau perempuan, menantu orang putih atau orang kita, menantu berlainan negeri dan menantu orang biasa atau selebriti!