Jika masa dahulu, ramai masyarakat simpati dengan nasib andartu (anak dara tua). Namun, gelaran andartu pada hari ini bukan lagi menjadi perbualan tetapi perkara biasa malah membuktikan gelaran ini biasanya terdiri daripada wanita yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya. Sejauh mana kebenaran ini?

 

Sememangnya jodoh, ajal dan maut adalah di tangan Allah SWT tetapi mengaku lebih bahagia dan memilih menjadi andartu seumur hidup bukanlah perkara yang betul.

 

Sejak awal kewujudan manusia, hubungan berpasangan ini telah lama wujud. Di mana lelaki pasangannya wanita, langit pasangannya bumi, matahari pasangannya bulan, siang pasangannya malam. Malah, di dalam Islam juga kita turut diajar soal dosa pasangannya pahala, syurga dan neraka, syaitan dan malaikat. Al Quran juga telah menerangkan yang setiap makhluk diciptakan berpasangan.

 

Antara punca sesetengah wanita menjadi andartu adalah kerana sikap wanita yang takut untuk menempuh alam berumahtangga. Perihal penceraian dan kes dera yang semakin meningkat  telah menjadikan wanita ini takut untuk berkahwin.

 

Sikap terlalu memilih sedangkan sedar populasi kaum wanita lebih ramai berbanding kaum lelaki pada hari ini juga membuatkan wanita sukar mencari lelaki yang benar-benar sesuai dan sempurna.

 

Ada juga wanita yang tidak sanggup meninggalkan kedua ibu bapa kerana tahu kedudukan wanita adalah 100% di bawah suami setelah bergelar isteri kelak. Sikap tidak boleh berenggang dengan orang tua menjadikan wanita lebih sanggup menjadi andartu asalkan tidak berjauhan.

 

Sikap yang lebih mementingkan kerjaya dan mahu mengumpul harta benda sehingga tidak pernah memberi ruang dan peluang untuk berkenalan dengan kaum lelaki juga boleh menjadi punca andartu.  Kadang-kadang, bersikap 'jual mahal' biarlah bertempat.

 

Mempunyai pengalaman pernah dikecewakan, ditinggalkan dan dipermainkan oleh kaum lelaki turut menjadikan wanita merasa fobia untuk kembali bercinta. Ini membuatkan wanita serik, takut dan tidak mahu bercinta semula apatah lagi mahu menjalinkan hubungan dengan lebih mendalam. Selain itu, ada juga sesetengah wanita trauma melihat keadaan ibunya yang bergelar janda.

 

Fenomena wanita andartu ini mungkin kedengaran sedikit sensitif  tetapi ia bukanlah ditujukan kepada sesiapa. Ia cuma sekadar pandangan tentang wanita hari ini lebih ramai berbanding lelaki. Percayalah bahawa setiap wanita mempunyai keistimewaan tersendiri. Cepat atau lambat bukan persoalan tetapi kadang-kadang wanita juga perlu berusaha dan tidak terlalu 'jual mahal' keterlaluan!