Tampil muda tidak semestinya anda bergantung pada krim wajah yang mahal dan menjadi pelanggan tetap spa kecantikan. Pemilihan pakaian dan aksesori yang sesuai juga boleh memberi penampilan muda tanpa mengeluarkan bajet besar semata-mata.

 

Jika anda mempunyai kardigan atau blaus berwarna merah jambu sudah boleh membantu menaikkan seri dan semangat anda sepanjang hari. Jangan takut untuk mengenakan seluar yang bercorak jalur menegak untuk memberi ilusi kaki kurus dan tampak tinggi. Sesiapa saja boleh mengenakan seluar yang mempunyai potongan kecil di bahagian kaki untuk tampak lebih kemas.

 

Solekan tebal belum tentu membuatkan anda kelihatan lebih muda tetapi biasanya menampakkan anda lebih tua dari usia sebenar. Cukuplah sekadar anda menyapu nipis krim penutup cela, mengurangkan lingkaran gelap bawah mata dan memudarkan bintik-bintik atau kemerahan pada kulit. Pembayang mata jenis berkrim dan berkilat boleh menjadikan kelopak mata anda lebih cerah dan bertenaga.

 

Apa kata anda tukar kasut tapak rata warna gelap anda kepada warna yang lebih segar seperti warna  kelabu berkilau atau keemasan. Bukan apa, kasut balet ini sesuai dipadankan dengan apa juga pemakaian lebih-lebih lagi jika anda mahu menonjolkan imej muda. Cubalah rantai yang mempunyai hiasan berbentuk permata kerana ia boleh menimbulkan sisi feminin dengan lebih ketara.

 

Kami pasti semua koleksi ini boleh diperolehi dari almari anda. Hanya satu minit saja untuk anda tampil lebih muda dari usia sebenar tanpa perlu melakukan pembedahan plastik! Tak gitu?