Kami percaya minggu ini sudah ramai yang mengambil keputusan untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dalam keghairahan anda pulang ke kampung, jangan lupa langkah persediaan berguna yang kami sediakan ini untuk elak berlakunya masalah ketika pulang beraya nanti.

 

ISI BORANG

Sebelum anda mengemas beg pulang ke kampung, pastikan anda mengisi borang balik kampung yang mengandungi maklumat penting untuk membolehkan pihak polis memantau rumah dan meronda kawasan persekitaran rumah anda semasa ketiadaan tarikh yang dinyatakan. Borang tersebut boleh diambil di balai polis yang berhampiran dan perlu dipulangkan setelah isi dengan lengkap untuk langkah keselamatan. Langkah ini membantu mencegah dari kejadian yang tidak diingini seperti kes pecah rumah.

 

MAKLUM JIRAN

Berpesan-pesanlah pada jiran yang tidak pulang ke kampung untuk tengok rumah anda. Jika jiran anda pun balik kampung, berpakatlah untuk mendirikan satu pondok khas dan upah orang yang boleh dipercayai untuk menjadi kawasan perumahan anda. Anda juga boleh berpakat beramai-ramai untuk meminta pihak polis membuat rondaan demi keselamatan.

 

KUNCI BERFUNGSI

Pastikan sekali lagi bahawa semua pintu dan tingkap telah dikunci dengan betul. Gunakan mangga (ibu kunci) yang berfungsi dengan sempurna dan bukan dalam keadaan rosak. Meskipun ada kes penjenayah tetap dapat pecah rumah yang berkunci, tetapi sekurang-kurangnya ia mengambil masa yang lama untuk pecah masuk.

 

MATI SUIS

Untuk memastikan segala harta benda anda di dalam keadaan selamat, sila periksa peralatan elektrik setiap ruang termasuk bilik tidur anda untuk mengelakkan berlakunya kebakaran. Elak buka lampu luar rumah kerana ia menandakan anda tidak berada di rumah pada siang hari. Tanggalkan juga kepala gas supaya tidak berlaku sebarang kebocoran pada gas.

 

KUNCI PENDUA

Jika sebelum ini anda terbiasa menyimpan kunci pendua di dalam pasu bunga atau alas kaki, elak menyembunyikannya sepanjang cuti panjang ini. Sebaliknya, serahkan kunci kepada orang yang boleh dipercayai. Tujuan anda menyerahkan kunci pendua kepada orang yang dipercayai adalah untuk persediaan jika ada berlaku perkara tidak diingini.

 

HENTI MELANGGAN

Maklumkan kepada pihak bekalan akhbar atau majalah untuk menghentikan menghantar bahan bacaan ini kepada anda sepanjang tempoh anda bercuti. Ini bagi mengelakkan penjenayah mengesan ketiadaan anda di dalam rumah dengan longgokan akhbar di hadapan pintu.

 

SENTIASA BERDOA

Sebelum melangkah keluar rumah, jangan lupa berdoa kepada-Nya supaya rumah dilindungi dan segala urusan dipermudahkan. Segala persiapan untuk keselamatan rumah sudah pun dilakukan dan berdoalah untuk memperoleh keberkatan.

 

Diharap perjalanan pulang ke kampung berjalan lancar dan jangan lupa utamakan keselamatan di jalan raya pula. Selamat berangkat dan selamat bercuti!