Kebanyakan wanita mula merasa kurang yakin apabila melepasi usia 40an. Bukan kerana bentuk tubuh badan mula mengalami perubahan tetapi perubahan pada wajah seperti pertumbuhan jeragat terutama bawah mata dan di bahagian pipi semakin menjadi-jadi.

 

Jeragat yang dikenali sebagai bintik-bintik gelap atau noda-noda hitam ibarat igauan ngeri buat wanita. Kemunculan jeragat boleh menjadikan wajah kelihatan tidak bermaya, kusam dan kotor. Biar sudah berbotol krim digunakan tetapi jeragat tetap muncul.

 

Untuk pengetahuan anda, faktor jeragat adalah berpunca dari hormon yang tidak stabil dan faktor genetik. Malah, pendedahan terhadap cahaya matahari yang terlalu kerap juga boleh menjadi punca jeragat berleluasa.

 

Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa krim yang digunakan tidak pernah memberi kesan terbaik. Sebenarnya, rawatan seperti krim adalah bersifat sementara. Jika ia berjaya memudarkan jeragat tetapi ia hanya 'hilang' dalam masa singkat saja.

 

Sebenarnya, jeragat merupakan masalah kulit yang biasa dialami oleh penduduk Asia. Jeragat atau melasma terbahagi kepada dua iaitu Melasma Epidermal dan Melasma Dermal. Masalah hormon terutama wanita hamil akan menghasilkan lebih banyak pigmen, pigmen ini yang membentuk jeragat.

 

Berjeragat atau tidak, ia sebenarnya perkara normal. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Teknik solekan yang betul, rajin mengikut petua seperti menggosok wajah dengan kulit pisang, tidur mencukupi dan minum banyak air serba sedikit menyekat kemunculan jeragat. Jika muncul sekali pun, ia tidaklah seteruk yang anda sangkakan.

 

Siapa kata jeragat tidak cantik? Kebanyakan selebriti Hollywood bangga dengan jeragat yang ada. Lihat saja Megan Fox, Olivia Munn, Emma Stone, Julianne Moore malah Lucy Liu tidak pernah berselindung menunjukkan bintik perang di wajah mereka!